Friday, October 10, 2008

Pertimbangan

Hidup ini memerlukan pertimbangan bila kita berdepan dengan situasi yang melibatkan orang lain. Kadang-kadang kita boleh mendapatkan sesuatu yang kita inginkan tetapi disebabkan orang lain kita berkorban dengan mengenepikan hasrat kita. Persoalannya di sini adalah adakah kita benar-benar sanggup dan redha untuk berkorban demi orang lain?

Adakah pengorbanan kita akan dihargai oleh orang tersebut? Adakah bila menghadapi situasi yang melibatkan kita, dia akan berkorban seperti yang kita lakukan padanya? Sanggupkah dia mengenepikan kepentingan diri demi kita? Kalau anda, sanggupkah anda?

Jawapan terpulang pada anda kerana setiap orang memiliki nilai yang berbeza-beza. Bagi diri saya, pertimbangan itu penting. Saya boleh berkorban tetapi apabila berhadapan dengan individu yang terlalu mementingkan kepentingan diri, saya terfikir adakah wajar saya berkorban untuknya sedangkan saya sudah tahu dia tidak akan berkorban untuk saya.

Bila berdepan dengan situasi ini, berlaku konflik dalam diri saya. Kalau ikutkan kata hati, ingin saya ketepikannya dalam hidup saya tetapi atas dasar persahabatan dan janji yang telah dilakukan sebelum ini, saya biar dan turutkan sahaja namun hati saya tidak redha.Tetapi apabila diketepikan seketika soal perasaan dan digunakan akal dan pertimbangan telah dianugerahkan oleh Allah S.W.T ini, saya meneliti setiap apa yang berlaku.

Apabila sesuatu itu tidak sesuai untuk kita, maka kita tidak akan mendapatkannya walaupun kita benar-benar berhasrat. Ini kerana belum tentu apa yang kita fikirkan mudah untuk kita, sebenarnya mudah. Mungkin kita akan berhadapan dengan masalah lain yang tidak kita jangka. Apabila melihat ini sebagai Qada’ dan Qadar, saya berkata kepada diri sendiri supaya redhakan semua ini supaya segala perasaan negatif yang bersarang di lubuk hati ini dapat dijauhkan.

Satu perkara yang perlu saya tanamkan dalam hati, apabila kita melakukan kebaikan pada seseorang itu belum pasti orang itu akan membalas kebaikan kita seperti mana yang telah kita lakukan padanya. Ikhlaskan hati kerana Allah. Bersedia dengan segala kemungkinan yang berlaku. Lalui hidup seperti biasa. Jika hati tidak selesa bila bersama, itu tandanya tidak serasi, ada sesuatu yang terpendam. Jika masih tak terluah biarkan sahaja, mungkin itu lebih baik. Yang penting redhakan semua ini, jangan disimpan dendam, benci, dan iri hati di dalam hati. Berkawanlah seadanya secara sederhana, kerana sekiranya terlalu berlebihan berkongsi rasa satu hari ada yang akan terasa.


No comments: